Keratan Akbar YES

Menabur bakti di Kota Pariaman, Sumatera Barat

Sumber: Akhbar Kosmo


 

SEKOLAH Dasar Negeri No. 4 Rawang, Pariaman Tengah, Sumatera Barat, Indonesia pada tengah hari itu hingar-bingar. Ada yang berlari ke sana ke mari. Namun, lebih ramai yang sibuk bersembang.

Usia sekolah yang menempatkan pelajar yang berusia antara enam hingga 13 tahun itu sudah hampir setengah abad. Ia serba sederhana. Sebenarnya, sukar untuk menggambarkan kedaifan sekolah itu.

Sejarah sekolah itu sangat panjang. Gempa bumi telah mengakibatkan beberapa buah kelas di Pariaman Tengah mengalami keretakan.

Kota Pariaman sebenarnya adalah sebuah bandar yang sedang giat dibangunkan semula setelah ditimpa bencana gempa bumi tahun 2009. Baru-baru ini, kota itu telah diisytiharkan sebagai ASEAN Youth Tourism City.

Kata guru besar atau digelar Ibu Kepala di sana, Erna Yasfaridah, hal kemusnahan bukanlah menjadi isu yang kritikal kerana mereka menanggung beban yang lebih berat.

“Kami masih sukar untuk memadamkan debaran ketakutan setiap kali melihat alam bertukar emosi,” ujar Erna.

Namun ujarnya, gejolak rasa itu mahu diketepikannya untuk sementara waktu.

MESKIPUN serba kekurangan, kebanyakan para pelajar di Sekolah Dasar Negeri No.4 Rawang, Pariaman Tengah tetap bersemangat untuk menimba ilmu.

 

“Pada hari ini, saya rasa sangat berbesar hati dengan kunjungan sukarelawan daripada Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA). Ini pertama kali sekolah kami menerima kunjungan tetamu luar,” katanya.

MYHA menerusi Program Pertukaran Belia & Program Pembelajaran (YES) buat pertama kalinya mengunjungi Kota Pariaman dalam usaha misi kemanusiaan dan amal kebajikan yang dilaksanakan melalui saluran seperti pendidikan, kebudayaan, dan kerja-kerja sosial.

Program selama tiga hari itu disertai seramai 57 sukarelawan di samping 50 belia daripada Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI).

Seperti yang dirancang, pada hari kedua, agenda mengajar subjek bahasa Inggeris dan Matematik di enam buah sekolah di bandar yang baru hendak membangun direalisasikan.

Semangat

WAJAH dalam kalangan 40 murid ini yang muram bertukar girang sebaik sahaja Muhammad Ashraf mengambil posisi mengajar subjek Matematik dan bahasa Inggeris.

 

Muhammad Ashraf Sulaiman, 19; Ahmad Mukhtar Ibrahim, 32, dan pasangan suami isteri, Ainol Mardhiah Mohd. Azhar, 25, dan Muhammad Taufik Abdul Aziz, 25, bersiap sedia mencurahkan segenap pengetahuan mereka di Sekolah Dasar Negeri No. 4 pada hari itu.

Sebaik sahaja sukarelawan-sukarelawan itu melangkah masuk ke dalam sebuah kelas, wajah muram kira-kira 40 murid bertukar ceria.

Profesion sebagai guru, ternyata memberi kelebihan kepada Muhammad Taufik. Hanya seketika waktu, guru Sekolah Menengah Chung Hwa, Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berjaya menakluk hati kanak-kanak sekolah tersebut.

Muhammad Ashraf pula bijak mewujudkan senario gegap-gempita dengan luahan frasa semangatnya. Ahmad Mukhtar membuatkan kesemua kanak-kanak ini menuruti kata-katanya. Kelembutan Ainol Mardhiah melayan karenah setiap daripada mereka pula telah mewujudkan suasana harmoni kelas itu.

Ya, aura sekolah itu agak hambar. Tiada kipas, malahan kerusi dan meja kayunya pada bila-bila masa boleh patah. Peluh mencurah-curah keluar. Hal itu bagaimanapun tidak diendahkan. Sebaliknya masing-masing bersungguh-sungguh menyiapkan kuiz matematik.

Seperti tidak percaya, murid-murid yang bersekolah di kawasan urban tetapi, masih ‘terperangkap’ dengan suasana kedesaan cepat menangkap istilah bahasa Inggeris yang diajar oleh sukarelawan berjiwa murni itu.

MOMEN bersama keluarga angkat selama tiga hari di negara asing membawa pengertian hidup yang mendalam dalam kalangan peserta Malaysia.

 

Lima orang guru Sekolah Dasar Negeri No. 4 Rawang yang meninjau dari luar pintu begitu teruja. Kata mereka, mengapa tidak program mengajar itu tidak dilanjutkan sehari dua lagi.

Kagum

Kunjungan singkat ke Kota Pariaman sangat besar ertinya bukan sahaja kepada sukarelawan tetapi, juga kepada belia KNPI, penduduk kota dan lebih-lebih lagi kepada para pelajar sekolah.

Mereka cukup terkesan dengan acara dialog bersama dengan Tokoh Belia Negara 2011, Muhammad Rizan Hassan, 35. Muhammad Rizan yang antara lain menitipkan kisah hidupnya yang penuh pancaroba.

Dia menceritakan kepada semua bahawa transisi hidupnya bermula apabila dia mencurahkan segenap kudratnya dengan aktiviti kemasyarakatan di seantero dunia sehinggalah dia diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Dewan Sekolah Menengah Kejuruan 2, Jalan Samratulrani yang memuatkan kira-kira 200 pelajar dari 25 buah sekolah di Kota Pariaman terpaku mendengarnya penuh khusyuk.

Soalan yang bertalu-talu yang dilontarkan kepada belia contoh itu cukup menggambarkan obsesi dan iltizam pelajar di sana.

Seperti kata pelajar bernama Saiful Lapau, 16: “Pengalaman Rizan adalah satu peringatan kepada masa depan saya.”

Kehadiran rakyat Malaysia mencurahkan bakti tidak sekadar berakhir di situ. Bagai sesuatu yang canggung kepada masyarakat Kota Pariaman apabila melihat para sukarelawan negara bergabung tenaga membersih dan mengekalkan keindahan Pantai Manggung mereka.

MYHA yakin misi kemanusiaan merupakan landasan terbaik memperkukuhkan hubungan dua hala antara dua buah negara.

 

Namun, Malaysia memperoleh satu pengajaran yang berguna. Sesungguhnya, kesungguhan yang bukan calang-calang negara jiran mewujudkan Pusat Penangkapan Penyu Manggung untuk menjaga sebaiknya penyu daripada terus terancam harus diambil iktibar.

Selami cara hidup

Dalam program ini, para sukarelawan dididik supaya belajar mengadaptasikan budaya masyarakat luar.

Selain mempelajari tentang warna-warni adab dan warisan jiran tetangga kata Presiden MYHA, Khairul Annuar Mansor, menginap bersama keluarga angkat adalah pendekatan paling efisien dalam mendasari cara hidup masyarakat Kota Pariaman yang unik.

Hal ini diakui oleh salah seorang peserta, Abdul Muiz Misri, 28, yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara.

“Memang berbeza sekali tapi, apa yang saya pelajari walaupun keluarga angkat saya hidup sederhana, budi bahasa mereka tak boleh dijual beli,” katanya ketika ditemui di rumah bapa angkatnya, Roni Effendi, 28.