Info

IPPBM SEDIA HULUR KEPAKARAN

06 Februari 2013 – Susulan dari hasrat Jawatankuasa Pembangunan Manusia, Gejala Sosial dan Dadah Majlis Belia Malaysia untuk membangunkan golongan belia yang menginap di institusi kebajikan dan perlindungan dengan kerjasama Makmal Penyelidikan Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), satu diskusi telah di adakan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM), Dr. Wasitah Hj. Mohd Yusof. Turut hadir ialah Saudara Khairul Annuar Mansor, Presiden Malaysian Youth Hostels Association (MYHA).

Diskusi yang penuh semangat dan ilmiah itu membincangkan peluang kerjasama penyelidikan yang lebih menjuruskan kepada usaha bersama membantu kerajaan mengenalpasti dan mengambil tindakbalas kepada kekurangan dalam perkhidmatan kepada golongan belia di institusi kebajikan dan perlindungan yang timbul daripada pelbagai latar belakang dan keadaan, dan mengesyorkan tindakan pembangunan yang sewajarnya.

Dr. Wasitah, seorang wanita besi yang memperkasakan dan memartabatkan pembangunan belia menerusi Rakan Muda dan kini menerajui IPPBM adalah seorang yang berfikiran luas dan memahami kehendak dan keperluan generasi muda di peringkat akar bumi. Menurut beliau, IPPBM bersedia untuk meningkatkan kerjasama dan pengembelengan tenaga akademik, pengamal dan ahli komuniti yang beminat dengan pembangunan Belia untuk bersama-sama mengkaji isu-isu Belia daripada pelbagai dimensi agar dapat menjadi input kepada dasar, mencari penyelesaian yang bermakna terhadap pelbagai masalah yang dihadapi oleh belia, dan juga mempromosi agenda tindakan baru yang akan meningkat pembangunan positif terhadap belia dan negara.

Semoga kerjasama dan sokongan IPPBM akan merancakkan usaha MBM mendekati dan memahami lebih jelas keperluan golongan belia dari kelompok sasar berkenaan.